SKRIP ILHAM NURANI
Penulis : Ustaz Alias Mat Yaacob
Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 23 Februari 2009
Tajuk : Nabi Muhammad s.a.w Penyelamat Manusia Sejagat
Assalamualaikum w.b.t ,
Sidang pendengar, muslimin dan muslimat sekalian,
Seluruh cendiakawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama ada beragama Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa beliau adalah sebagai The Saviour of Humanity ( Penyelamat Manusia Sejagat )
Itulah Nabi Muhammad s.a.w yang digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlaknya. Baginda diutuskan membawa rahmat ke seluruh alam dan membebaskan manusia dari belenggu kejahilan dan keinginan kepada keni'matan hidup di dunia semata – mata.
Lathrop Stodard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The New World of Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah satu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia. Pengiktirafan yang jujur itu hasil penelitian kajian berkaitan sumbangan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman. Tidak ada individu lain mampu mencapai status setanding dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah s.w.t dalam Surah al – Ahzab ayat 21, yang bermaksud :
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah dan ( balasan baik ) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak – banyak ( dalam masa susah dan senang )"
Sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w memiliki peribadi yang terlalu agung. Sebab itu baginda diberikan gelaran al – Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambing kebenaran dan kesempurnaan pekerti. Baginda menjadi kebanggaan seluruh masyarakat Makkah dan dihormati pendapat dan tutur kata yang diucapkan.
Sidang pendengar yang setia,
Rasulullah membawa risalah Islam yang syumul. Islam diiktiraf Allah sebagai addin yang diredhai – Nya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai ) di sisi Allah ialah Islam…" ( Surah ali Imran ayat 19 )
Risalah yang dibawa Rasulullah membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia. Islam bukan setakat berkaitan kepercayaan kepada Allah semata – mata. Sebaliknya, acuan kehidupan manusia yang dibawa Islam sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman tanpa membezakan batasan bangsa, geografi, keturunan dan golongan manusia.
Adalah terbukti revolusi perubahan yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w Berjaya membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran. Hasilnya Berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual. Nabi Muhammad s.a.w mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keredhaan, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, setiap ajaran dan amalan Rasulullah adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan. Kejayaan dicapai sekiranya melakukan perkara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Justeru, remaja yang inginkan kejayaan dalam hidup mesti menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan yang dikagumi dari pelbagai sudut.
Inilah rahsia kejayaan hidup para sahabat, mereka mementingkan perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah yang sentiasa taat dan mengikuti setiap tindakan yang dilakukan oleh baginda. Para sahabat sentiasa bersama Rasulullah dan mempelajari teknik – teknik yang perlu dilakukan sebagai seorang Muslim Berjaya di dunia dan akhirat.
Hasil kepatuhan dan kecintaan telah melahirkan umat Islam yang kuat dan menjadi contoh kepada umat – umat yang lain. Sebab itu Islam dapat berkembang dengan cepat dan Berjaya merobohkan dua kerajaan besar iaitu Rom dan Parsi. Para sahabat berhijrah dan menempuh perjuangan kental demi mempertahankan idealism syumul Islam.
Saudara, semua ini hasil tarbiyyah yang dilakukan Rasulullah s.a.w secara berterusan dan sistematik berpandukan kepada wahyu. Rasulullah secara konsisten menunjukkan contoh yang terbaik dan berusaha mencari yang terbaik untuk kesejahteraan umat. Biarpun Rasulullah mempunyai kedudukan paling istimewa dan berkuasa, baginda sentiasa mengamalkan rendah diri. Baginda tidak riak, sombong atau mengambil kesempatan untuk hidup bermewah – mewah.
Kehidupan baginda amat sederhana dan tidak langsung menggambarkan satu kedudukan sepeti kelaziman dinikmati individu berstatus pemimpin besar. Kejayaan ummah lebih dipentingkan berbanding meraih kemewahan hidup sendiri. Baginda lebih rela lapar asalkan kepentingan agama terjaga.
Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan mengamalkan sikap berlapang dada, berbudi bahasa dan mesra. Senang didampingi oleh sesiapa sahaja. Baginda tidak pernah membeza – bezakan di kalangan sahabat dan sesiapa yang ditemui.
Baginda melayan mesra kehadiran semua orang. Hal ini tidak terkecuali di kalangan golongan bukan Islam. Orang bukan Islam juga sebahagian daripada rakyat yang perlu berbincang, mengadu masalah dan meminta sesuatu.
Para sahabat yang dapat hidup bersama – sama Nabi Muhammad s.a.w dianggap paling bertuah.Walaupun begitu, kita masih berterusan mendapat rahmat menjadi umat baginda asalkan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Nabi Muhammad s.a.w meninggalkan dua harta terpenting kepada seluruh umat baginda sepanjang zaman iaitu al – Quran dan as – Sunnah. Sesiapa mencontohi kedua – duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah, yakni dapat beramal seperti yang disampaikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.
Oleh itu, untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad s.a.w sepenuh hati.
Berkata Syeikh Abdul Aziz Dabbagh : "Sesungguhnya seseorang hamba itu tidak akan mencapai makan mengenal Allah kecuali setelah mengenal Rasulullah s.a.w."
Rasulullah s.a.w turut bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibubapanya dan manusia seluruhnya." ( Riwayat Bukhari dan Muslim ) .
Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang mencintai dan mencontohi Rasulullah s.a.w dan sunnah baginda. Sehingga berjumpa lagi. Wassalamualaikum w.b.t
Comments
Post a Comment