Percubaan Untuk Mencuri Jasad Rasulullah s.a.w

SKRIP ILHAM NURANI


Penulis : Ustaz Alias Mat Yaacob

Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 2 Mac 2009
Tajuk : Percubaan Untuk Mencuri Jasad Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum w.b.t ,

Sidang pendengar yang dikasihi,
Mungkin ramai yang tidak tahu adanya percubaan jahat untuk mencuri mayat Rasulullah s.a.w yang terletak di dalam Masjid Nabawi di kota Madinah. Ilham Nurani ingin mengambil kesempatan berkongsi kisah ini.

Saudara,
Perbuatan khianat yang telah berlaku pada sekitar tahun 557H ketika zaman Perang Salib ini, telah dirancang dengan teliti oleh pihak Krisitan dan Yahudi. Mereka telah merancang untuk memindahkan mayat RAsulullah s.a.w daripada makamnya di Madinah. Bagi melaksanakan niat mereka itu, mereka telah mengupah dua orang lelaki Kristian yang menyamar sebagai orang Maghribi yang datang dari Andalusia, Sepanyol. Dua orang lelaki ini telah menyewa sebuah rumah yang berdekatan dengan Raudhah iaitu berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w. Raudhah merupakan satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Ia juga merupakan tempat Rasulullah s.a.w dan para sahabat beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w.

Kedua – dua lelaki itu telah berpura – pura menjadi orang alim untuk mengaburi mata penduduk Madinah. Mereka sentiasa menunaikan solat di Masjid Nabawi dan selalu memberi sedekah kepada fakir miskin. Semuanya dilakukan untuk mendapat kepercayaan daripada penduduk sekitar bahawa mereka merupaan orang yang baik dan mengelakkan daripada syak wasangka orang ramai. Mereka juga sentiasa rajin menziarahi perkuburan Baqi' , iaitu merupakan kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa yang meninggal dunia di Madinah termasuk pada jemaah haji atau umrah.

Tetapi di sebalik semua ini, sebenarnya mereka mula melakukan gerak kerja untuk merealisasikan impian mereka untuk mencuri mayat Rasulullah s.a.w. Bermula dari rumah, mereka mula menggali secara rahsia sebuah terowong yang akan berakhir di dalam makan Rasulullah s.a.w. Tanah – tanah dari terowong tersebut dipunggah ke dalam telaga di dalam kediaman mereka dan kadang – kadang diisi ke dalam beg untuk dibuang di Perkuburan baqi'. Rancangan jahat mereka ini berjalan lancar tanpa disedari oleh penduduk Madinah. Tetapi mereka lupa bahawa kegiatan mereka itu sentiasa dilihat oleh Allah s.w.t.

Sidang pendengar sekalian,
Sehinggalah Allah s.w.t telah memberikan petanda kepada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zink dari Syria melalui satu mimpi. Di dalam mimpi tersebut, Sultan Nuruddin telah mendengar Rasulullah s.a.w berkata : "Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka." Ketika berkata demikian, Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepadanya dua orang lelaki yang berambut perang. Sultan Nuruddin lantas bangun dari tidur dalam keadaan panik, dia berdoa dan kembali tidur. Tetapi mimpi itu berulang sebanyak tiga kali.

Baginda kemudiannya mengarahkan menterinya membuat persediaan untuk berangkat ke Madinah. Sultan Nuruddin dan pengikutnya menyeberangi jarak dari Syria ke Madinah dalam masa 16 hari. Apabila sampai di Madinah, baginda terus menuju ke Masjid Nabawi, mengerjakan solat dan termenung di sana kerana baginda tidak tahu perkara yang perlu dilakukannya. Melihat keadaan Sultan Nuruddin itu, menterinya bertanya, adakah baginda dapat mengecam dua lelaki di dalam mimpinya itu ? Baginda menjawab bahawa baginda amat yakin dapat mengecam kedua – dua lelaki tersebut. Serentak dengan itu, menterinya pun memanggil seluruh penduduk Madinah yang memerlukan bantuan untuk datang mengadap baginda.

Walaubagaimanapun, tidak ada kedua orang lelaki tersebut di antara orang ramai yang datang mengunjungi baginda. Setelah diselidiki, baginda diberitahu bahawa ada dua orang asing yang tidak datang mengadap baginda. Mendengar berita tersebut, lantas Sultan Nuruddin mengarahkan mereka berdua mengadap baginda. Apabila kedua – duanya dibawa mengadap, baginda segera mengecam bahawa itulah lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam mimpinya.

Kedua – dua lelaki itu telah disoal siasat untuk membuktikan segalanya. Mereka menyatakan bahawa mereka berasal daripada Maghribi dan datang untuk menunaikan haji dan melawat Masjid Nabawi dan bercadang untuk tinggal di Madinah selama setahun. Bagi mengesahkan segalanya, Sultan Nuruddin sendiri telah pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menyiasat.

Tetapi malangnya baginda tidak menjumpai sebarang petunjuk melainkan sejumlah wang yang banyak. Baginda tetap tidak berpuas hati dan terus berfikir apa yang perlu dilakukannya. Dengan kehendak Allah s.w.t, baginda tersepak satu kepingan kayu. Apabila diangkat kayu itu, maka terbukalah pintu terowong yang menghala ke arah makam Rasulullah s.a.w. Apabila disiasat, didapati terowong itu telah pun melepasi tembok dan dinding Masjid Nabawi.

Kedua – dua lelaki tersebut kemudiannya disebat sehingga mereka mengaku perbuatan yang mereka lakukan dan bercerita hal yang sebenarnya. Mereka telah tinggal di Madinah lebih dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang – orang Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup banyak pada keduanya untuk tujuan mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya ialah apabila jasad Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka dengan mudah dapat merendahkan martabat Kekasih Allah dan seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam di Madinah rasa tertipu oleh mereka, akhirnya kedua mereka itu dijatuhi hukuman mati.

Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya telah berjaya diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya. Untuk mengelakkan supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Raja Nuruddin memerintahkan supaya ke empat penjuru sekeliling kubur Rasulullah dipagar dengan kongkrit sampai ke bawah tanah. Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari Madinah sekali lagi beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali ini Rasulullah merangkul dan memeluk leher beliau.

Apabila telah tiba masanya Raja Nuruddin hendak meninggalkan kota Madinah, beliau memberi taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan dan dendam orang Yahudi dan Kristian terhadap Islam, dendam mereka terhadap Islam akan berterusan. Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan diiringi doa dan air mata oleh sekalian rakyat yang mencintainya.


Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t dalam Surah at – Tariq ayat 15 hingga 17 yang bermaksud :
"Sesungguhnya mereka yang menentangmu, wahai Muhammad bermati – matian menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat mereka dan menggagalkannya. Oleh itu, janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang – orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa."

Sama – samalah kita mencintai Rasulullah s.a.w . Sehingga bertemu lagi wassalamualaikum w.b.t.

Comments