Bagaimana Melahirkan Rasa Kasih Terhadap Rasulullah s.a.w ?

SKRIP ILHAM NURANI

Penulis : Ustaz Alias Mat Yaacob
Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 9 Mac 2009
Tajuk : Bagaimana Melahirkan Rasa Kasih Terhadap Rasulullah s.a.w ?

Assalamualaikum w.b.t ,

Sabda Rasulullah s.a.w :
Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibubapanya dan manusia seluruhnya." ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Kita sedang melalui bulan Rabiul Awal , bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Seeloknya, kita jadikan bulan ini, untuk lebih mengingati dan mendalami sirah junjungan Nabi Muhammad s.a.w agar menambahkan lagi rasa kasih terhadap baginda. Maka wajar sekali, jika kita dapat mencontohi kekasih Allah ini yang merupakan insan teladan sepanjang zaman. Kerana Sunnah Rasulullah s.a.w adalah model yang mendapat bimbingan terus daripada Allah s.w.t seterusnya Sunnah Rasulullah juga adalah terjemahan cara hidup Islam sebenar yang berteraskan al – Quran.

Saudara saudari sekalian,
Sebagai seorang muslim, rasa kasih terhadap Rasulullah s.a.w memang ada. Namun tidak ramai yang tahu bagaimana dan mampu untuk melahirkan rasa kasih terhadap Rasulullah s.a.w. Ilham nurani pada kali ini mengajak muslimin dan muslimat sekalian ,di bulan Rabiul Awal ini, menzahirkan cinta, kasih rindu dan sayang kepada baginda. Ini perkara yang sungguh mulia berbanding jika meraikan Hari Kekasih iaitu Valentine Day yang bercanggah dengan syariat Islam.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah,
Bila kasih pada Rasulullah s.a.w, tanamlah di dalam jiwa anda bahawa anda, muslimin dan muslimat sekalian, hendak mengamalkan semua Sunnah baginda. Maka seterusnya ikutilah dengan menghayati cara hidup yang diajarkan oleh Rasulullah dalam segenap perkara dan keadaan, sama ada ketika susah atau senang , ketika sedih atau gembira. Allah s.w.t telah menegaskan hal ini dalam firman – Nya yang bermaksud :
"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu" Surah Ali Imran ayat 31.

Kasih kepada Nabi Muhammad bermakna kita mengutamakan ajaran dan syariat Islam yang disampaikan baginda daripada dorongan kehendak dan nafsu. Allah telah mengajar kita perkara ini tatkala memuji sikap golongan Ansar yang membantu Muhajirin dalam firman – Nya dalam Surah Hasyr ayat 9 yang bermaksud : "Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula di dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang yang berhijrah itu , dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan."

Bila kita kasih pada Rasulullah s.a.w, hendaklah kita sentiasa bersolawat kepada baginda. Mengucapkan solawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad merupakan ungkapan kerinduan dan luahan rasa cinta kasih sayang umat kepada baginda. Apatah pula ganjaran bagi yang bersolawat amatlah besar. Maka apabila mendengar nama baginda , maka sunat kita bersolawat, contohnya :

اللَّهُمَّ
صَلِّ

عَلىَ

سَيِّدِناَ

محمد

وَآَلِهِ

وَسَلِّمْ


Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku di dunia." (Hadis riwayat al – Baihaqi).

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah s.w.t,
Bila kita cinta pada Rasulullah s.a.w, hendaklah menzahirkan rasa cinta itu dengan membenci perkara yang dibenci Nabi Muhammad s.a.w, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunnah baginda dan melakukan perkara bid'ah dalam Islam serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya tanpa mengira kaum kerabat atau sahabat handai.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al – Mujadalah ayat 22 yang bermaksud :
"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang perintah Allah s.w.t dan Rasul – Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa – bapa mereka atau anak – anak mereka, atau saudara – saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka yang setia itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada – Nya dan dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha serta bersyukur akan nikmat pemberian Allah. Merekalah penyokong – penyokong agama Allah. Ketahuilah sesungguhnya penyokong – penyokong agama Allah itu ialah orang – orang yang berjaya."

Seterusnya saudara saudari para pendengar yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,
Bila kita cinta kasih pada Rasulullah s.a.w , maka kita perlu kasih kepada Al – Quran kerana akhlak baginda adalah cerminan daripada al – Quran. Tanda kita kasih pada al – Quran ialah dengan membaca, beramal, memahami tuntutan, mentaati suruhan dan meninggalkan larangan al – Quran. Firman Allah s.w.t dalam surah al – Hasyr ayat 7 yang bermaksud :
"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang – Nya dari kamu melakukannya maka patuhilah larangan – Nya."

Oleh itu, menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda, untuk sama – sama memelihara aqidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunnah baginda secara menyeluruh. Jika ini dapat dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan harapan mendapat keredhaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda – tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.

Allah s.w.t berfirman dalam ayat 51 surah an – Nur yang bermaksud :
"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul – Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata : "Kami mendengar dan kami taat" dan mereka itulah orang – orang yang beroleh kejayaan."

Lantaran itu marilah kita serlahkan rasa cinta pada Rasulullah s.a.w.
Sehingga bersua lagi. Wassalamualaikum w.b.t.

Comments