Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 30 Mac 2009
Tajuk : Benarkah Cinta Remaja Itu Cinta Sejati ?
Assalamualaikum w.b.t ,
Para remaja yang dikasihi sekalian,
Minggu lalu, ilham nurani berbicara tentang keremajaan yang hanya datang sekali dalam hidup. Maka berbahagialah bagi remaja yang mampu mencemerlangkan diri dengan menghiasi diri dengan akhlak terpuji dan ilmu yang diberkati.
Sekali lagi, kita akan mengutarakan tentang fenomena yang sering menimpa remaja masa kini iaitu , cinta remaja.
Wahai remaja Islam,
Bercinta di alam keremajaan ataupun lebih realiti di alam persekolahan sudah menjadi satu fenomena yang tidak asing lagi bagi sesetengah pelajar. Walhal, cinta pada zaman persekolahan adalah cinta yang bersifat sementara. Walaupun terdapat pasangan yang bercinta sejak di alam persekolahan kekal Berjaya diijab kabulkan namun bilangannya tidaklah banyak.
Sudah menjadi fitrah naluri manusia, ingin dicintai dan mencintai. Bahkan tiada siapa yang boleh menafikan cinta ini. Tiada sesiapapun boleh berbohong bahawa dia tiada perasaan cinta.
Saudara dan saudari,
Islam bukan datang membunuh naluri cinta yang ada pada manusia tetapi Islam membimbing manusia supaya mengawal perasaan dan nafsu syahwatnya. Cinta adalah sesuatu yang suci, dihulurkan hanya untuk suami dan isteri.
Daerah cinta amatlah luas. Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah s.a.w, cinta kepada kedua ibubapa kita, cinta kepada sesama insan dan cinta kepada kecemrlangan.
Cinta kepada insan yang berlainan jantina dalam Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta yang berlaku selepas ijab Kabul, cinta selepas berkahwin. Itulah cinta yang mulia dan bermaruah. Bukan cinta murahan dan jalanan. Inilah cinta cara Islam.
Para remaja yang dimuliakan Allah,
Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin, ia membawa ganti yang lebih baik dan bermaruah iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah s.aw yang bermaksud :
Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.
Cinta remaja masa kini boleh menghampirkan diri kepada perzinaan. Ini kerana, jika lelaki dan perempuan bertemu, tentu nafsu syahwat turut terangsang. Perasaan dilayan sehingga teringat dan rindu, bertemu berdua – duaan, berpegangan tangan, dan akhirnya boleh membawa kepada perzinaan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita. Mereka mahukan kita menjadi orang yang tinggi maruahnya. Cemerlang akhlaknya dan baik budi bahasanya.
Tidakkah anda gerun dengan fakta berikut : dalam satu kajian sehingga Disember 2005 bersumberkan daripada majalah mastika Disember 2006, bayi luar nikah yang dilahirkan adalah sebanyak 64,800 orang. Berapa pula jumlahnya sekarang ini ? Apakah seseorang yang mengambil jalan maksiat akan puas dan berhenti dari melakukan perbuatan keji tersebut ? Pastinya tidak ! Bahkan mereka akan ketagih dan akan sentiasa memuaskan nafsu sebagai matlamat utama di dalam kehidupan mereka. Nauzbillahi min zalik.
Sebagai kesimpulannya, cinta adalah sesuatu yang suci, indah dan murni. Oleh itu, jangan dicemari dengan sesuatu yang boleh mengotorkannya. Bersabarlah dengan ujian keremajaan. Mohonlah bantuan dan pertolongan daripada Allah untuk menghadapi cabaran keremajaan ini. Kuatkan semangat dan cita – cita. Kejarlah cita – cita terlebih dahulu sebelum mengejar cinta yang belum pasti !
Sehingga bertemu lagi. Selamat menghayati Islam yang indah.
Wassalamualaikum w.b.t.
Comments
Post a Comment