HIDUPKAN SUNNAH DI DALAM RUMAH ANDA

SKRIP ILHAM NURANI

Penulis : Ustaz Alias Mat Yaacob
Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 16 Mac 2009
Tajuk : Hidupkan Sunnah Di Dalam Rumah

Assalamualaikum w.b.t ,
Firman Allah s.w.t dalam Surah al – Ahzab ayat 21 yang bermaksud :
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan Allah ) dan balasan baik di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak – banyak ( dalam masa susah dan senang ).

Begitu juga dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31, yang bermaksud : Katakanlah wahai Muhammad : "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa – dosa kamu. Dan ( ingatlah ) , Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani'.

Sidang pendengar sekalian,
Kita baru sahaja mendengar intipati dua ayat al – Quran yang menjelaskan kepentingan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w . Sunnah dari segi bahasa bererti perjalanan, gaya dan tingkah laku dalam kehidupan. Sementara dari segi istilah pula ialah Sesuatu yang disandarkan kepada nabi s.a.w dari perkataan, perbuatan, taqrir iaitu pengakuan atau sifat sama ada sebelum perutusan atau selepas peutusan baginda.

Ringkasnya di sini, segala yang lahir dan terbit daripada Rasulullah s.a.w adalah panduan yang cukup mulia untuk kita menjalani kehidupan di dunia ini.

Muslimin dan Muslimat sekalian,
Marilah kita mulakan sunnah Rasulullah s.a.w di dalam rumah kita dahulu. Mendidik anak – anak kita dan keluarga kita menghidupkan sunnah akan menzahirkan gaya hidup yang murni pada diri mereka. Ilham nurani ingin membawa beberapa sunnah Rasulullah s.a.w di dalam rumah agar menjadi amalan anda sekalian.

Saudara saudari pendengar setia sekalian,
Pertamanya, ceriakanlah hidup anda sekeluarga dengan memberi salam. Amalan sunnah ini perlu menjadi rutin harian di rumah. Bermula dari langkah pertama memasuki rumah, sebelum berangkat ke sekolah atau ke tempat kerja, sebelum tidur. Apabila menjawab salam, biasakan menjawab dengan ucapan salam yang lebih baik daripada salam yang diberi. Contohnya , jika ucapannya Assalamualaikum maka jawablah waalaikumussalam warahmatullah. Semoga ucapan salam dapat menambat hati – hati keluarga kita, merasai dan menambah kasih sayang dan persaudaraan.

Sunnah di dalam Rumah seterusnya ialah membiasakan ahli keluarga dengan membaca basmalah iaitu بسم الله الرحمن الرحيم dan seelok-eloknya disertai dengan doa – doa yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w setiap kali melakukan sesuatu perkara. Contohnya, sebelum makan dan minum, sebelum dan selepas memasuki tandas, sebelum dan selepas tidur, ketika memakai pakaian, ketika keluar rumah dan sebagainya. Berdoa menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam perlindungan Allah s.w.t.

Seterusnya, ajarlah keluarga anda membaca dan membiasakan kalimah zikir seperti Alhamdulillah, astaghfirullah, allahhuakbar, berselawat dan mengucap dua kalimah syahadah. Ia mungkin suatu perbuatan yang spontan jika selalu diamalkan dan amalan ini adalah berpahala.

Muslimin dan muslimat , pendengar sekalian,
Antara sunnah Rasulullah s.a.w yang amat wajar dilaksanakan ialah Solat berjemaah yang boleh di lakukan di rumah atau di masjid. Solat berjemaah dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan kejiranan di samping mendidik anak – anak untuk tidak mengabaikan solat dan memastikan mereka bersolat dengan betul. Di samping itu amalan ketika bersalaman dan berpelukan selepas solat juga akan menguatkan lagi perasaan kasih sayang antara ahli keluarga.

Selain itu, Ibubapa juga perlu prihatin terhadap didikan ilmu agama terutama mengaji al – Quran. Malangnya hari ini bukan sahaja anak – anak yang tidak tahu mengaji, ibubapa juga turut sama buta al – Quran. Apatah lagi untuk membaca tafsiran bersama – sama seisi keluarga. Bila ibubapa inginkan perubahan anak ke arah kehidupan orang – orang yang soleh sudah semestinya ibubapa perlu memulakannya dahulu,menjadi contoh yang baik terhadap anak – anak.

Tanggungjawab ibubapa amatlah besar dalam memelihara dan mendidik anak Anak – anak seumpama rebung yang perlu dibentuk sebaiknya. Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya makan bersama – sama dan melakukan aktiviti secara berjemaah. Jadikan ini landasan untuk merapatkan ukhuwwah iaitu persaudaraan dan kasih sayang antara seisi keluarga. Sudah tentu anak – anak akan merasai mereka lebih diberi perhatian.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w mencium al – Hassan dan al – Husain bin Ali r.a. Ketika itu, Aqra' bin Habis at –Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Aqra' berkata : "Ya Rasulullah ! Aku mempunyai sepuluh orang anak tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : Siapa yang tidak mengasihi , dia tidak akan dikasihi." Hadis direkodkan oleh al – Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya terlalu banyak sunnah Rasulullah s.a.w yang patut dicontohi malah seluruh hidup Rasululullah s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, sifat dan lain – lain adalah teladan dan role model yang ulung. Dengan sedikit teladan yang diutarakan, jika dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan istiqamah, insya Allah akan membawa manfaat dalam institusi kekeluargaan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.." Surah al – Hasyr ayat 7.

Sekadar ini dahulu buat renungan dan penghayatan kita bersama…
Wassalamualaikum w.b.t.

Comments