Lima Persoalan Hidup

Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.

Tarikh : 13 April 2009
Tajuk : Lima Pesoalan Hidup

Assalamualaikum w.b.t ,
Para pendengar yang dirahmati Allah s.w.t ,
Hari ini marilah kita merenung beberapa persoalan yang berkisar dalam kehidupan kita seharian. Kehidupan kita telah jauh meninggalkan destinasi awal ketika kita mula bertolak dahulu, dari destinasi bayi hinggalah destinasi sekarang ini. Marilah kita ambil iktibar daripada pemikiran orang yang suka berfikir. Kita amati pemikiran dan renungan Imam al – Ghazali.

Suatu hari, Imam al – Ghazali berkumpul dengan murid – muridnya dan bersoal jawab dengan anak muridnya tentang lima persoalan hidup.

Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?" Murid – muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Lalu, Imam al – Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah kematian. Sebab itu adalah janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud :

Tiap – tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah Berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.

Kedua, "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini ?" Murid – muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling jauh adalah masa lalu. Dengan menggunakan apa cara sekalipun, mahupun kenderaan atau alat yang canggih, kita tetap tidak akan mampu kembali ke masa lalu. Sebab itulah kita harus menjaga hari ini dan hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.

Ketiga, "Apa yang paling besar di dunia ?" Murid – muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali, tetapi yang paling besar di dunia ini adalah nafsu. Firman Allah s.w.t dalam surah al – A'raf ayat 179 yang bermaksud :

Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak mahu memahami dengannya iaitu ayat – ayat Allah, dan mempunyai mata yang tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah, dan mempunyai telinga yang tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat, mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang – orang yang lalai.

Maka kita harus hati – hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita kepada kebinasaan.

Keempat, "Apa yang paling berat di dunia ini ?" Ada yang menjawab besi, gajah dan seumpamanya. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali "tetapi yang paling berat adalah memegang amanah. Firman Allah s.w.t dalam Surah al – Ahzab ayat 72 dan 73 yang bermaksud :

Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung – ganang untuk memikulnya, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya, dan pada ketika itu manusia dengan persediaan yang ada padanya sanggup memikulnya. Ingatlah sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara – perkara yang tidak patut dikerjakan.

Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka akibatnya Allah akan menyeksa orang – orang lelaki yang munafiq serta orang – orang perempuan yang munafiq, dan orang – orang lelaki yang musyrik serta orang – orang perempuan yang musyrik, dan juga Allah akan menerima taubat orang – orang lelaki yang beriman serta orang – orang perempuan yang beriman. Sememangnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.

Ketika Allah menawarkan amanah menawarkan amanah sebagai khalifahNya di bumi, semua makhluk Allah seperti binatang, gunung dan malaikat menolaknya. Sebaliknya manusia menerima amanah itu. Namun demikian manusia gagal menyempurnakan amanah Allah ini.

Kelima, "Apakah yang paling tajam di dunia ini ?" Murid – muridnya menjawab dengan serentak, pedang…."Benar kata Imam Ghazali tetapi yang paling tajam adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Demikianlah beberapa persoalan hidup untuk menjadi iktibar dan perhatian kita semua. Berfikirlah tentang mati, uruslah masa dengan baik, kawal hawa nafsu, pelihara amanah dan jagalah lidah. Berfikirlah terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu, fikir haram atau halal, dosa atau pahala. Orang yang berfikir akan beruntung. Orrang yang bertindak terburu – buru pasti akan menyesal. Berfikir, jangan tidak berfikir.

Sekian dulu…Selamat beramal… Wassalamualaikum w.b.t.



Sehingga bertemu lagi. Selamat menghayati Islam yang indah.

Wassalamualaikum w.b.t.

Comments