Mari Bercakap Baik

Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.

Tarikh : 20 April 2009
Tajuk : Mari Bercakap Baik

Assalamualaikum w.b.t ,
Kita sering bercakap antara satu sama lain, tetapi pernahkah kita renungkan, apakah percakapan kita menyakiti atau menyinggung perasaan orang lain. Mari sama – sama kita renungkan beberapa adab kesopanan apabila bercakap yang perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Antaranya :

  1. Bercakaplah dengan nada yang sederhana dan jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar – samar.
  2. Bercakaplah di depan dengan cara bertentangan mata dan jangan bercakap di belakan, ini untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.
  3. Jika seseorang sedang bercakap tentang sesuatu tajuk dan tajuk itu belum habis dibincangkan maka janganlah mengutarakan tajuk baru atau memotong perbualannya itu.
  4. Jika seseorang sedang makan maka janganlah bercakap tentang sesuatu yang menjijikkan atau tentang sesuatu yang tidak disukai olehnya.
  5. Jangan bercakap di hadapan orang yang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan, sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang mendukacitakan, sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang memberangsangkan.
  6. Jangan bercakap mengenai hal orang lain, membuat fitnah serta mencaci maki orang.
  7. Jangan memanggil orang yang lebih tua dari kita dengan panggilan nama, seeloknya panggillah dengan nama yang memuliakan mereka.
  8. Jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya.
  9. Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenainya.
  10. Bercakaplah sesuatu perkara yang berfaedah dan bermanfaat. Tinggalkan percakapan yang sia – sia dan tidak berfaedah.

Diantara wasiat Luqman al – Hakim kepada anaknya yang boleh kita jadikan panduan ialah merendahkan suara sekadar cukup untuk didengar oleh orang yang berkenaan. Meninggikan suara tanpa keperluan adalah perkara yangtidak disukai Allah, malah orang lain yang berada di sekitarnya akan turut terganggu.

Firman Allah s.w.t lagi di dalam surah al – baqarah ayat 83 yang bermaksud :

"Dan berbuat baiklah kamu kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak – anak yatim dan orang – orang miskin, serta ucapkanlah kata – kata yang baik, merendah diri dan lembut berbicara kepad sesama manusia."

Kesimpulannya, kita hendaklah mengawal percakapan yang keluar dari mulut kita. Berfikirlah sebelum berkata – kata. Pepatah Melayu mengatakan : Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Lidah kita tanggungjawab kita. Bahagiakanlah manusia dengan tutur kata kita.

Sekian. Sehingga bertemu lagi. Selamat menghayati Islam yang indah.
Wassalamualaikum w.b.t.

Comments