Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.
Tarikh : 23 Mac 2009
Tajuk : Remaja Hanya Sekali
Assalamualaikum w.b.t ,
Para remaja yang berbahgia,
Bersyukurlah dengan nikmat keremajaan yang sedang anda kecapi sekarang ini kerana terlalu banyak nikmat yang terkumpul pada diri seorang remaja.
Bersyukurlah kerana seorang remaja mempunyai rupa paras yang cantik. Jagalah kecantikan itu dengan sebaik – baiknya. Rupa yang cantik tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu kelohatan cantik. Pelengkap kepada kecantikan itu adalah akhlak yang baik, berpakaian sopan dan sempurna serta menutup aurat. Ingatlah kecantikan tidak hanya diukur pada rupa paras yang zahir sahaja bahkan dinilai dengan kemuliaan akhlak. Apa ertinya rupa paras yang cantik apabila akhlaknya rosak!
Remaja muslim dan muslimah yang dikasihi Allah s.w.t,
Bersyukurlah kerana seorang remaja menikmati kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik memungkinkan remaja dapat melakukan banyak perkara yang baik dan berfaedah dengan mudah. Banyak ruang untuk remaja melakukan kebaikan. Menolong ibubapa di rumah, menolong guru di sekolah, berkhidmat kepada masyarakat dalam pelbagai aktiviti social seperti gotong – royongdan sebagainya. Kesihatan adalah amanah. Jangan dimusnahkan kesihatan yang dianugerahkan dengan rokok dan dadah. Jangan sama sekali berjinak dengan rokok kerana penghujung jalan rokok adalah dadah. Manakala penghujung jalan dadah pula adalah AIDS. Begitu juga jangan "merempit"dan jangan terlibat dengan lumba haram. Apabila berlaku kemalangan, ia mungkin meninggalkan kecacatan kekal buat selama – lamanya. Menyesal ketika itu, tidak berguna lagi.
Remaja sekalian,
Bersyukurlah kerana remaja selalunya mempunyai semangat yang tinggi dan berkobar – kobar. Bagaikan sebuah kapal layar yang meluncur megah membelah samudera dan badai. Tiada cabaran yang boleh mematahkan semangat mereka. Oleh itu, remaja perlukan cita- cita yang hebat supaya semangatnya dapat meluncur untuk mencapai impian dan cita – cita. Remaja tidak boleh sama sekali patah semangat kerana itu bukan sifat seorang remaja.
Bersyukurlah kerana remaja memiliki kekuatan minda yang hebat dan ingatan yang kuat, tidak seperti orang yang telah lanjut umur yang sering lupa dan terlupa. Berbekalkan minda yang cergas dan cerdas, segala macam ilmu dapat dipenuhkan dalam kantung minda yang ruangnya terlalu luas. Amat malang jika minda tidak diisi dengan sebaiknya. Gunakanlah masa remaja ini untuk mengumpul sebanyak ilmu dan kemahiran yang ada kerana ia amat berguna untuk hari dan masa depan. Kata Imam Syafie ;
Orang muda yang tidak mahu menimba ilmu, maka takbirlah untuknya empat kali.
Apakah yang dimaksudkan dengan "takbir empat kali"?
Maksudnya : takbir sembahyang jenazah kerana remaja itu telah dianggap mati walaupun ajalnya belum tiba.
Wahai remaja Islam sekalian,
Rancanglah masa keremajaan dengan baik. Anggaplah ia sebagai suatu peluang keemasan. Peluang ini tidak boleh diabaikan kerana zaman remaja seseorang tidak akan berulang untuk kali kedua. Sehinggakan seorang penyair Arab yang tua pernah bermadah dengan hati yang sugul :
"Alangkah baiknya kalau zaman remaja itu kembali kepadaku walaupun hanya satu hari."
Oleh itu, manfaatlah zaman remaja anda untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Jadilah remaja yang hebat. Ingatlah remaja hanya sekali.
Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah al – Kahfi ayat 10 yang menceritakan beberapa orang anak muda yang beriman, yang telah melarikan diri ke sebuah gua untuk beribadah kepada Allah yang maha Esa kerana berlindung daripada rajanya yang kafir serta menindas orang – orang yang beriman.Lalu mereka berdoa dalam ayat ini yang bermaksud :
"Wahai tuhan kami ! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan – kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".
Sekian sahaja untuk kali ini. Selamat beramal…
Comments
Post a Comment