Tarikh : 27 April 2009
Tajuk : Umur Yang Panjang Kurniaan Ilahi
Assalamualaikum w.b.t ,
Umur suatu yang amat bernilai.
Ia bergerak bersama peredaran masa.
Hanya ada tiga masa, masa lepas , masa sekarang dan masa depan. Tiada yang dapat mengundur masa lalu apatah lagi tiada siapa yang dapat menduga masa depannya.
Kemudian Allah s.w.t ciptakan umur berperingkat – peringkat dari usia muda setahun jagung sehinggalah ke suatu masa ajal yang ditentukan. Jika Allah menghendaki, tiada siapa dapat menghalang umur seseorang sama ada singkat mahupun panjang. Semuanya milik Allah. Jika Allah memberi umur pendek, maka Allah ingin menyatakan bahawa Allah s.w.t tiada umur bagiNya. Allah sifatNya Baqa' iaitu kekal tidak akan binasa. Jika Allah memberi kepada seseorang umur yang panjang, Allah ingin memberitahu kita sifatnya yang Qidam iaitu zat yang azali tidaklah Ia tiada sebelum itu dan tidaklah pula Ia baru wujud.
Kedua – dua umur itu kurniaan ilahi mengingatkan kita akan kekuasaan Allah yang tiada tolok bandingannya. Umur yang ada pada kita sebagai makhluk hanyalah bersifat pinjaman.
Firman Allah s.w.t dalam surah an Nahl ayat 70 yang bermaksud :
" Dan Allah s.w.t yang menciptakan kamu ( dari tiada kepada ada ) , kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu, ( maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya ), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah ( peringkat tua kebudak – budakkan ) sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui lahi maha Berkuasa."
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Biasanya manusia mengalami peringkat kejadian umur muda seterusnya hingga ke umur tua. Dalam setiap peringkat itu ada peringkat – peringkat tertentu. Umur muda melalui zaman bayi, kanak – kanak, remaja dan belia. Umur tua pula, melalui zaman dewasa dan lemah.
Bagi sesiapa yang diizinkan Allah s.w.t lanjut usianya akan sampai satu zaman di mana ingatannya akan ditarik sedikit demi sedikit sehingga lupa perkara yang dilakukan sebelumnya. Yang kita kenali sebagai nyanyuk. Dan inilah yang mungkin berlaku pada datuk dan nenek atau ibu dan bapa anda malah mungkin akan berlaku anda sendiri.
Ingatlah saudara saudari pendengar sekalian, ini adalah satu ujian.
Ibn 'Ata illah berkata dalam hikmahnya:
"Banyak sekali manusia diberikan usia umur yang panjang tetapi sumbangan diberikannya sangat sedikit, dan banyak sekali orang mempunyai usia umur yang pendek, tetapi mereka memberikan sumbangan sangat banyak. Sesiapa yang umurnya diberi berkat oleh Allah , maka dalam jangka masa pendek dia akan mendapatkan pelbagai kurniaan daripada-Nya, yang sangat sulit untuk diungkapkan."
Maka, berpesan – pesanlah untuk diri dan rakan – rakan anda dengan hadis ini iaitu :
Sabda baginda Rasullulah yang bermaksud :
"Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: Muda sebelum tua mu, sihat mu sebelum sakitmu,kaya mu sebelum papa mu, hidup mu sebelum mati mu, masa lapang sebelum kamu sibuk."
( Hadis daripada Ibnu Abbas riwayat Al- Hakim ).
Muslimin dan muslimat yang berbahagia,
Satu lagi peringatan buat diri kita semua.
Jika sesiapa di antara ahli keluarga yang dilanjutkan usia, berilah tumpuan yang wajar terhadapnya terutama ibubapa kita sendiri. Jagailah ibubapa kita yang sudah sampai lanjut usia, bagai menatang minyak yang penuh. Sebagaimana jasa mereka berdua terhadap kita. Namun sebenarnya tiada terbalas budi jasa yang cukup mulia itu.
Sehingga bertemu lagi. Semoga bingkisan ilham nurani kali ini mendekatkan kita kepada Allah s.w.t…Wassalamualaikum w.b.t.
Comments
Post a Comment