Salam sahabat,
Ikhlaskan dirimu dalam setiap amalanmu. Inilah amalan batin yang perlu diberi keutamaan dan dilatih pada setiap saat umurmu. Keikhlasan yang sejati hanyalah milik Allah. Allah sahaja yang berhak engkau tujukan segala amalanmu. Adapun amalanmu itu semua yang engkau lakukan sama ada secara lahir atau batin. Tetapkan hatimu pada pertama kali gerak hatimu kepada Yang Maha Esa Yang Maha Membolak Balikkan hati. Agar hatimu itu tetap istiqamah.Syaitan pasti gagal merobek keikhlasan hatimu itu.
Ketahuilah sahabat, bahawasanya setiap amalan yang ikhlas hanya pada Allah dikira ibadah. Bila engkau menjadikan amalan harianmu sebagai ibadah, maka hari - hari yang engkau lalui, wahai sahabat yang mulia, dipenuhi nur ilahi penuh dengan keberkatanNya. Maka jadilah ia satu kejayaan yang diredhai Allah yang menjadi keuntunganmu di dunia dan mahligai kekayaanmu di akhirat nanti.
Hai sahabatku,
Banyak sudah bukti kejayaan hasil daripada keikhlasan. Bacalah tentang tamadun Islam yang menguasai dunia suatu masa dahulu. Bagaimanakah ia berkembang pesat ? semuanya hasil keikhlasan. Kehancuran itu memulakan bibit - bibitnya bila nilai unggul ini, diketepikan. Maka wujudlah sifat tamak haloba, dengki, khianat yang akhirnya membinasakan sesuatu kejayaan yang telah terbina.
Aduhai sahabatku,
Malang sekali jika dirimu meminggirkan keikhlasan. Melayan kehendak nafsu yang tamak halobakan keduniaan. Lalu kamu akan melakukan sesuatu sekadarnya sahaja. Walaupun engkau menggapai kejayaan namun kejayaan itu bukan hakiki. Kejayaan menjadi tiada erti kerana hilang keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t.
Sahabat yang dikasihi Allah,
Kita disuruh agar ikhlas pada Allah s.w.t berdasarkan firmanNya yang bermaksud :
Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya ( Surah al-Bayyinah : 5 )
Maka peliharalah hatimu, agar benar - benar ikhlas....
Comments
Post a Comment