Allah Maha Alim, Ilmu Wajib dituntut.

Saudaraku yang dirahmatilah Allah, Sesungguhnya Allah Maha Alim yang mempunyai ilmu pengetahuan luas tiada batasannya. Tiadalah bandingannya jika disamakan dengan keluasan ilmu manusia. Ilmu manusia itu pemberian Allah yang hanya setitik daripada lautan yang tersangat luas.

Sedarilah wahai saudaraku, demi memperoleh hidayah dan taufiqnya, maka hendaklah kita berilmu. Oleh kerana itu, Ilmu itu wajib dituntut oleh setiap muslim yang beriman pada Allah al-Alim. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w pembawa kebenaran berlandaskan ilmu :

 : عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال 
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : 
طلب العلم واجب على كل مسلم
(رواه ابن ماجه والبيهقي )

Rasulullah s.a.w telah bersabda 
"Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap muslim".

Ilmu yang benar itu memimpin manusia kepada keimanan teguh kepada Allah yang Maha Agung. Maka ikutilah ilmu yang diajar oleh Rasulullah s.a.w demi kebaikan dunia dan akhiratmu.

Rakan - rakan seperjuanganku,
Ketaatan pada Allah perlulah mengatasi segala kehendak, kepuasan dan keuntungan yang ingin diperoleh. Itulah tanda seseorang muslim yang mukmin. Begitulah hidup orang yang bertaqwa. Tidak ragu - ragu dalam menjalankan tugas sebagai hamba Allah dan khalifahNya. Ketaatan dan keyakinan yang teguh ini datangnya daripada ilmu yang benar sebagaimana yang dikehendaki Allah dalam Surah al-Alaq melalui ayat 1 hingga 5. Bacalah dengan hati yang insaf setiap rantaian ayat Allah ini.

Rakan - rakanku yang dikasihi Allah,
Demi memperoleh tuntutan itu, sewajarnyalah  setiap detik umurmu, masa muda remaja mu, sebelum masa tua bangkamu itu dipergunakan untuk memenuhinya.

Sedarlah wahai sahabat, 
bahawa ilmu itu ada dua bahagian. Ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.
Ilmu fardu ain, itulah ilmu meneguhkan imanmu, menguatkan amal islammu, meningkatkan ihsanmu. Manakala ilmu fardu kifayah pula adalah ilmu yang memenuhi keperluan dirimu, masyarakatmu dan negaramu. 

Kedua - duanya amat berkait antara satu samalain.Perlulah dirimu menguasai kedua - duanya bagi mengejar kejayaan. 

Akhir kalam, saudaraku yang dirahmati Allah, ayuh bersihkanlah hatimu dari nafsu malas, suka berhibur dan berleka - leka. Bulatkan tekad dalam hatimu, jangan tunggu - tunggu lagi, untuk mendengar , membaca, menulis, menghayati ilmu. Kekayaan sebenarnya adalah kekayaan ilmu. Teruskanlah istiqamahmu dalam menuntut ilmu. Di mana sahaja kamu mendapati ilmu, ambillah ia dengan sebaiknya. Allah amat memuliakan orang yang berilmu kerana Allah maha Alim Maha Mengetahui.

Wallahu a'lam

Comments