Usaha Menimba Ilmu 'Shortcut' Ke Syurga

Saudaraku, 
Hari ini, tumpukan perhatianmu pada kata - kata Rasulullah s.a.w. Bagindalah uswahmu , model , idola , contoh ikutan yang selayaknya. Bacalah dengan teliti dan perhalusilah ia sehingga bibit - bibit keinsafan dalam hatimu mula memancar. Lantas menitiskan air matamu. Bangganya dirimu terhadap junjungan nabi s.a.w kerana tiadalah baginda membiarkan diri tercari - cari bagaimanakah jalan ke syurga ? Malah baginda bukan hanya menunjuk jalan tapi dalam jalan - jalan itu, didedahkan jalan shortcut. Walaupun ada duri, haiwan berbisa , segala usaha yang bersungguh - sungguh dan jitu sudah pasti menemui jalan mudah. Begitulah ada shortcut jalan ke syurga. Maka renungilah : 

Daripada Abu Darda' r.a. berkata :
Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : 
"Sesiapa yang berusaha untuk menuntut ilmu , Allah akan mempermudahkannya jalan menuju ke syurga dan para malaikat mengembangkan sayapnya menaungi orang yang menuntut ilmu kerana suka akan mereka. Sesungguhnya orang yang alim juga akan dipohonkan keampunan oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di air dan kelebihan seorang yang berilmu dengan seorang abid sama seperti bulan purnama berbanding dengan cakerawala - cakerawala yang lain. Sesungguhnya ulama itu pewaris para nabi dan sesungguhnya para nabi tidak sedikitpun meninggalkan harta walau satu dinar atau satu dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mendapatkan ilmu bererti ia telah memperolehi bahagiannya yang besar".    ( rekod oleh Abu Daud dan Tirmizi ) 

Titiskan air mata keinsafanmu, bahawasanya menuntut ilmu besar fadilatnya. Mulianya melebihi seorang abid. Kalimat - kalimat istighfar memohon keampunan terhadapmu meliputi persekitaranmu. Apalah lagi , alasanmu untuk bermalas - malas , berdegil - degilan , beralpa - alpaan. Tidakkah dirimu meyakini kata - kata Rasulmu yang mulia ?  Tidakkah dirimu melihat beza insan berilmu dengan insan yang meminggirkan ilmu ?

Wahai rakan seperjuanganku, ilmu apakah yang dimaksud oleh baginda sehinggakan Allah membuka jalan mudah untuk ke pintu syurga ? Titiskan air matamu, insafilah ia dengan sebenar - benarnya, ilmu itu adalah segala yang diperolehi daripada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Setiap apa yang diajarkannya merupakan ilmu. Kerana baginda hanya mewariskan ilmu, bukan harta mahupun pangkat. 

Sedarilah wahai sahabatku, jika dirimu berusaha menuntut ilmu , dirimu telah mendapat laba yang besar.Sedinar tidak bererti tanpa si pembuat dinar , pengguna dinar , pengiktiraf dinar. Maka semua itu buah hasilnya daripada ilmu. 

Astaghfirullah al-Azim, permudahkan kami dalam urusan kami ya Rabbi. 

Wallahu a'lam. 

Comments