Marah

Penerbit : Dj Muaz Faez Murhalim . Labuanfm.

Tarikh : 6 April 2009
Tajuk : Marah

Assalamualaikum w.b.t ,
Sidang pendengar muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Dalam hidup kita, kadang – kadang kita gembira dan kadang – kadang pula kita rasa marah. Apabila seseorang itu marah, seolah – olah api terbit dari dalam dada manusia. Marah biasanya berlaku apabila sesuatu yang tidak menepati kehendak hati. Perasaan itu akan meluap dengan hebatnya jika api kemarahan dihembus lagi.

Ada berbagai – bagai ragam manusia.
Ada orang cepat marah cepat reda, ada orang lambat marah, lambat reda.
Ada orang cepat marah dan lambat reda.
Ada orang lambat marah tetapi cepat reda. Inilah yang terbaik.

Dalam konteks agama, Islam membenarkan manusia marah dengan maksud untuk membetulkan yang salah atau mencegah yang mungkar dalam keadaan yang terkawal. Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan, marah biarlah bertempat. Memandangkan banyak kesan buruk akan berlaku akibat dari sifat marah, maka Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita supaya tidak mudah marah.

Apakah petua mengawal kemarahan ? Antara yang dianjurkan ialah diam, duduk dan meninggalkan tempat itu. Jika perasaan marah masih memuncak, eloklah berbaring. Rasulullah s.a.w bersabda, "Kalau salah seorang di antara kamu marah, sedang ketika itu dia berdiri, maka hendaklah duduk. Kalau marahnya belum reda, hendaklah berbaring."

Selanjutnya perilaku orang yang bertaqwa adalah mampu menahan marah dengan tidak menampakkan kemarahan walaupun sebenarnya ia mampu bertindak. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
Orang yang kuat bukanlah orang yang kuat tubuh badannya, tetapi (orang yang kuat itu adalah ) orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.

Memaafkan orang yang melakukan kesilapan adalah dianggap perilaku orang bertaqwa. Nabi Muhammad s.a.w sebagai "uswatun hasanah" atau contoh terbaik kita, merupakan seorang yang sangat pemaaf. Aisyah r.a. berkata ; Saya belum pernah melihat Rasulullah s.a.w. membalas apabilaa beliau dianiaya, selagi hokum Allah tidak dilanggar. Beliau akan memaafkan kesalahan orang sekiranya kesalahan itu hanya berkaitan dengan diri Baginda.

Saudara saudari sekalian,

Ada satu kisah teladan tentang menahan kemarahan. Pernah seseorang khadam tertumpah air kopi ke atas jubah tuannya. Ini membuatkan tuannya sangat marah. Khadam itu berkata kepada tuannya : "Tuan, ingatkah tuan, Allah s.w.t pernah berfirman tentang sifat – sifat orang yang bertaqwa, iaitu menahan kemarahannya ketika marah ?", maka tuannya menjawab : "Aku telah menahan marahku". Khadam itu berkata lagi : "Allah telah berfirman yang bermaksud memaafkan orang lain," Tuannya menjawab : "Kamu telah aku maafkan." Khadam itu pun menyambung lagi : "Bahawa allah telah berfirman yang bermaksud Allah mengasihi orang – orang yang berbuat baik."Tuannya menjawab : "Baiklah, sekarang, engkau aku bebaskan, engkau merdeka kerana Allah."Tidak cukup dengan itu, tuan itu juga memberi 1000 dirham kepada khadamnya.

Ingatlah, menahan marah termasuk di dalam perkara yang dituntut di dalam agama Islam. Belajarlah untuk menahan kemarahan kerana kemarahan yang tidak bertempat itu adalah hasutan daripada syaitan.

Sehingga bertemu lagi. Salam taufiq dan hidayah.
Wassalamualaikum w.b.t.

Comments